Berapa kerusi Bersatu dan Pas boleh menang 5,2,1 atau 0?

MAMPUKAH  Perikatan Nasional (PN) melakukan kejutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok?

Pada PRN Johor 2022, PN turun ke gelanggang dengan bertanding 56 kerusi dan mereka hanya mampu menang tiga kerusi iaitu di DUN Maharani melalui Pas manakala Bersatu dua kerusi di DUN Endau dan Bukit Kepong. Itu dalam keadaan mereka ada kerjasama politik.

Tetapi dalam PRN kali ini, tiada lagi kerjasama politik antara Pas dan Bersatu walaupun berada satu gabungan, PN hanya bertanding 33 kerusi iaitu Bersatu (16), Pas (11), MIPP (5) dan Pejuang (1).

Selepas kempen berjalan sejak 27 Jun lalu dan berakhir 11.59 malam ini, peluang Pas mahupun Bersatu mencipta kejutan apatah lagi memenagi  kerusi dalam angka signifikan agak sukar. Tetapi bukan bermaksud, kedua-dua parti itu tidak ada peluang langsung.

Seperti biasa, Bersatu terus memasang impian biarpun   hanya bertanding 16 kerusi. Impian pertama untuk bekerjasama dengan MUDA sudah berkecai apabila MUDA menolak untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana gabungan.

Bersatu bertanding di 16 kerusi iaitu Bukit Kepong, Layang-Layang,Sedili,Parit Raja, Kemelah,  Bukit Pasir,  Serom, Bukit Naning, Semarang, Rengit, Tenggaroh, Panti, Senggarang, Johor Lama, Stulang dan Penawar.

Kerusi yang menjadi tumpuan ialah Bukit Kepong yang ditandingi oleh Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Shahrudin Jamal.  Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor akan berhadapan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas menang pada tahun 2022 dengan majoriti tipis 710 undi.

Sumber memberitahu penulis, peluang Dr Shahrudin untuk mempertahankan kerusi itu dalam kedudukan 50-50.

‘’Agak getir sebab pengaruh Bersatu semakin luntur di Johor selepas kemelut yang melanda parti itu,’’ kata sumber tersebut ketika dihubungi.

Bagi 15 kerusi lain, ada kerusi yang Bersatu mampu memberi saingan.

‘’Masih ada masa sehingga tengah malam ini untuk Bersatu meraih sokongan, tetapi masalahnya Bersatu tidak ada modal. Pemimpin Bersatu masih terbelenggu dengan nostalgia bagaimana PN memerintah negara dahulu.

‘’Semua itu sudah berlalu, rakyat Johor lihat dengan prestasi BN di Johor dan pencapaian parti itu bersama PH di pusat, kalaupun mereka tidak mahu menyokong PH, mereka tidak akan memihak kepada PN termasuk Bersatu…mereka akan memilih BN,’’ kata sumber tersebut.

Namun penulis melihat selain Bukit Kepong, Bersatu boleh beri saingan di DUN Layang-Layang jika calonnya Abd Mutalip Abd Rahim yang mewakili BN pada PRN lalu berjaya mempertahankan sokongan terhadap beliau..

Pada 2022, Abd Mutalib menang dengan majoriti 2,815 undi selepas mendapat 7,551 undi

Di 14 kerusi lagi, Bersatu mungkin sekadar mampu memberi cabaran di enam kerusi iaitu Bukit Pasir,Serom, Rengit,Tenggaroh, Senggarang dan Johor Lama.

Peluang terbaik Bersatu adalah di Bukit Pasir dan Serom kerana di kedua-dua kerusi itu ia dimenangi oleh BN dengan majoriti 198 undi di Bukit Pasir dan 699 undi majoriti di Serom.

Tetapi di Bukit Pasir, pada PRN lalu ia ditandingi oleh calon Pas yang mendapat 5,850 undi manakala BN (6,048 undi),PH (4,676 undi). Jika penyokong Pas sedia beri undi kepada Bersatu, tidak mustahil Bersatu akan menang di situ.

Bukit Kepong dan Bukit Pasir berada dalam kawasan Parlimen Pagoh yang Ahli Parlimen ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Dalam PRN ini,  ‘dua bukit’ itu ibarat maruah kepada Muhyiddin, selain perlu mempertahankan kemenangan di Bukit Kepong, Bersatu perlu berusaha merampas Bukit Pasir.

Di Serom yang BN menang dengan majoriti tipis 699 undi pada 2022, ia boleh menjadi kerusi sasaran Bersatu tetapi soalnya adakah penyokong Pas akan memberi undi kepada calon Bersatu.

Ia memandangkan kerusi itu ditandingi oleh calon Pas yang memperolehi 7,808 undi pada tahun tersebut dan kini kedua-dua parti sudah tidak ada kerjasama politik.

Di Rengit, Bersatu mempunyai peluang untuk memberi saingan di kerusi yang dimenangi oleh Datuk Dr.Puad Zarkashi (BN) pada PRN lalu dengan majoriti 1 ,920 undi

Walaupun berlaku kontroversi berikutan tindakan Puad keluar daripada UMNO, itu tidak bermaksud ia akan memberi kelebihan kepada Bersatu kerana Rengit adalah kubu UMNO. Pada PRU-14, parti itu menang di situ dengan majoriti 4,172 undi.

Pada PRN lalu, di DUN Tenggaroh, Bersatu memberi saingan dengan mendapat undi 9,172 undi berbanding calon BN K.Raven Kumar yang menang dengan majoriti 1,356 undi selepas mendapat undi 10,528 undi tetapi PRN kali ini pertarungan berbeza.

Bersatu mampu  mengulangi sejarah dan tidak mustahil memberi saingan kepada BN yang kali ini meletakkan calon daripada UMNO.

Di Senggarang, Bersatu memperolehi undi keseluruhan 5,624 undi dan Johor Lama 6,132 undi pada PRN Johor 2022.

Tetapi harapan Bersatu menang agak sukar kerana di Senggarang BN menang dengan majoriti 3,912 undi selepas mendapat 9,725 undi manakala di Johor Lama BN menang dengan majoriti 6,039 undi selepas mendapat 12,1271.

Bersatu juga boleh beri saingan sengit di Kemelah selepas berjaya mendapat undi keseluruhan 3,902 undi berbanding calon PH 3,317 undi. Kerusi itu dimenangi oleh BN dengan majoriti 1,531 undi selepas mendapat 5,437 undi.

Di Sedili,Parit Raja, Bukit Naning,Semarang,Panti,Stulang dan Penawar, lalu sukar menanti Bersatu, boleh sahaja menaruh harapan untuk menang tetapi ia tipis berdasarkan kekuatan BN dan PH (DUN Stulang).

Soalnya berapakah kerusi yang boleh dimenangi oleh Bersatu? Ada yang mengatakan tidak mustahil parti itu boleh menang lima kerusi, ada pula kata dua kerusi atau sekurangnya-kurangnya satu kerusi… kawasan mana tak pasti.

Tetapi apa yang pasti jika Bersatu gagal memenangi satupun kerusi, ia tamparan hebat untuk Muhyiddin.

SEMENTARA itu Pas pula yang bertanding 11 kerusi dijangka menghadapi kesukaran untuk mempertahankan DUN Maharani yang dimenanginya oleh Pas dengan majoriti 1,037 undi selepas calonnya mendapat 7,759 undi.

Calon Pas Mohamad Anuar Hayan akan berhadapan cabaran daripada calon BN, PH dan Muda.

Satu lagi kerusi yang boleh Pas menaruh harapan ialah Simpang Jeram yang disandang oleh PH dengan majoriti 3,514 undi. Ketika PRK 2023, calon PH Nazri Abdul Rahman memperolehi 13,844 undi manakala Calon PN Dr Mazri Yahya mendapat 10,330 undi. Bagaimanapun turut bertanding di situ kali  ini ialah PH,BN dan Muda.

Di kerusi 9 kerusi lagi Pas boleh memberi saingan walaupun untuk mencapai kemenangan agak sukar tetapi ia bukan mustahil.

Kesimpulannya, dengan bertanding 33 kerusi, PN khususnya Bersatu tidak perlu menyimpan terlalu tinggi. Dapat kekal dua kerusi pun sudah memadai, tetapi tidak salah bermimpi seperti Bersatu menamakan calon PM mereka..betul tak?

Manakala Pas pula, apapun keputusan PRN kepada parti itu, mereka tidak perlu berasa kecewa kerana semua orang tahu Johor bukanlah ‘lubuk’ Pas.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img