
TIDAK sampai 24 jam lagi proses pengundian di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dijalankan, Barisan Nasional (BN) diramalkan berada di kedudukan selesa untuk mengekalkan pemerintahan di negeri selatan tanah air itu.
Prestasi BN memerintah Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghani memungkinkan rakyat negeri melihat tidak ada sebab kenapa mereka perlu memberi peluang kepada gabungan atau pakatan lain menumbangkan BN.
Beberapa pihak membuat unjuran dan kaji selidik yang memperlihatkan BN berada di posisi terbaik untuk terus menerajui Johor dengan jumlah kerusi boleh mencapai dua pertiga.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mempunyai 56 kerusi. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 29 kerusi manakala majoriti dua pertiga ialah 38 kerusi.
Hari ini ILHAM Centre dalam satu kenyataan mengunjurkan BN berada pada kedudukan yang selesa untuk membentuk kerajaan dengan berpotensi melepasi majoriti dua pertiga.
Menurut badan penyelidikan itu, daripada 56 kerusi DUN, BN dijangka mendahului di 39 kerusi, PH (9 kerusi), manakala 8 kerusi masih berada dalam kategori sengit.
‘’Kelebihan BN dibina daripada kombinasi calon yang lebih awal bekerja di kawasan, kekuatan jentera, sokongan teras Melayu yang kekal stabil serta populariti Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang tinggi merentas kaum dan generasi.
‘’Sebaliknya, perpecahan sokongan dalam blok pembangkang, kelemahan PN sebagai pencabar utama serta kegagalan PH membina naratif kempen yang dominan telah memperkukuhkan lagi kedudukan BN,’’ kata ILHAM Centre.
Menurut ILHAM Centre, lapan kerusi sengit iaitu Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Bukit Batu masih mempunyai tahap volatiliti yang tinggi dan dipengaruhi oleh tiga angkubah (boleh berubah) utama.
‘’Pertama, kadar keluar mengundi, khususnya pengundi Cina di kawasan bandar dan separa bandar serta pengundi Melayu di kerusi campuran. Kedua, arah sokongan penyokong PN, terutama selepas perpecahan Pas dan Bersatu yang dijangka memberi limpahan sokongan kepada BN di beberapa kawasan.
‘’Ketiga, sekitar 17 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan, didominasi pengundi muda yang bersifat ‘late decider’, lebih menilai personaliti dan rekod prestasi calon berbanding jenama parti, serta banyak dipengaruhi oleh media sosial menjelang hari pengundian,’’ kata ILHAM Centre.
Menurut ILHAM Centre, PRN Johor memperlihatkan BN dan PH memasuki gelanggang dengan kerangka strategi yang berbeza.
‘’BN menyusun strategi berdasarkan karakter sebenar pilihan raya negeri, manakala PH dilihat masih dipengaruhi oleh momentum dan pencapaian PRU-15. Perbezaan dalam membaca ‘setting’ pilihan raya ini akhirnya mempengaruhi pendekatan kempen, pemilihan isu, sasaran pengundi dan strategi mobilisasi yang digerakkan oleh kedua-dua gabungan,’’ kata ILHAM Centre.
Bagi BN kata pusat penyelidikan tersebut, pengalaman memenangi PRN Johor 2022 menjadi rujukan penting dalam merangka kempen.
‘’Fokus diberikan kepada pengukuhan sokongan teras Melayu, mengekalkan naratif kestabilan pentadbiran negeri, memperkukuh kekuatan calon dan memastikan jentera bergerak secara tersusun sehingga hari pengundian.
‘’Strategi ini dibina atas andaian bahawa tingkah laku pengundi dalam PRN lebih dipengaruhi oleh prestasi kerajaan negeri, kepimpinan Menteri Besar dan isu-isu tempatan berbanding sentimen nasional,’’ kata ILHAM Centre.
Dapatan kajian kata ILHAM Centre menunjukkan pendekatan tersebut berjaya disesuaikan dengan mood pengundi Johor sepanjang kempen. Sebaliknya, PH dilihat masih banyak berfikir dalam kerangka PRU, khususnya dengan menjadikan pencapaian PRU-15 sebagai asas jangkaan terhadap prestasi mereka dalam PRN.
‘’Hakikatnya, kedua-dua pilihan raya mempunyai dinamika yang berbeza. Semasa PRN Johor 2022, kadar keluar mengundi hanya 54.9 peratus, sebahagiannya dipengaruhi oleh situasi pasca-pandemik COVID-19.
‘’Beberapa bulan kemudian, PRU-15 mencatat lonjakan hampir 20 peratus kepada 74.9 peratus, sekali gus mengubah landskap persaingan, terutama di kawasan bandar dan majoriti Cina. Prestasi PH ketika itu banyak dipacu oleh gelombang keluar mengundi yang jauh lebih tinggi serta sentimen nasional yang kuat,’’ kata ILHAM Center
Dapatan ILHAM Centre menunjukkan andaian bahawa momentum PRU-15 akan berulang dalam PRN ternyata tidak berlaku.
‘’Tahap keterujaan pengundi jauh lebih sederhana, isu nasional tidak lagi menjadi pemacu utama, manakala perhatian pengundi lebih tertumpu kepada prestasi pentadbiran negeri dan penyelesaian isu harian.
‘’Dalam keadaan ini, PH berdepan kesukaran membina gelombang baharu yang mampu menggerakkan penyokong keluar mengundi pada skala yang sama seperti PRU-15.
‘’Secara keseluruhannya, PRN Johor memperlihatkan bahawa kejayaan strategi politik banyak bergantung kepada keupayaan memahami ‘setting’ pilihan raya yang sedang dihadapi. BN lebih awal menyesuaikan kempen dengan karakter PRN yang menekankan kestabilan, prestasi kerajaan negeri dan kekuatan organisasi,,’’ kata ILHAM Centre.
Sebaliknya menurut ILHAM Centre PH dilihat masih membawa sebahagian pendekatan dan jangkaan yang dibentuk oleh pengalaman PRU-15. Perbezaan bacaan strategik ini menjadi antara faktor yang menjelaskan mengapa BN lebih berjaya menguasai rentak pertandingan sejak awal kempen.






