SEORANG pekerja cuci kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memukul lelaki warga emas dengan pengunci tayar motosikal (fork lock) sehingga menyebabkan mangsa parah, awal bulan ini.
Tertuduh, M Withvanathan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mencederakan Lau Chee Kwan, 60, di Jalan Tun Ali, Tengkera pada 5 Julai lalu, kira-kira jam 11.50 malam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan kemudian memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan mencadangkan jaminan RM18,000.
Beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga perbicaraan kes selesai.
Withvanathan yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana hanya pekerja cuci kereta dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM40 hingga RM50 sehari bergantung kepada jumlah kenderaan.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin berikutan tiada mana-mana pihak hadir untuk menjamin tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 10 Ogos depan untuk laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam.






