DUA lelaki direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang lelaki tempatan di sebuah hotel di Sunway Mentari, Petaling Jaya kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah hotel pada jam 11.23 malam, 8 Julai lalu.
Beliau berkata, lelaki berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dipercayai sudah meninggal dunia dan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada badan lelaki berusia 30-an itu.
“Beberapa barang kes dipercayai boleh membantu siasatan turut dirampas di lokasi. Bedah siasatan yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan pelbagai hentaman tumpul pada badan atau multiple blunt impacts to the body,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan 20-an bagi membantu siasatan dan semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.
“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat hari ini dan mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari ke atas mereka sehingga 16 Julai depan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit kes ini masih giat dijalankan oleh pihak polis. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Shamsudin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Fandhi Fatullah Abu Bakar di talian 014-630 3090.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan polis.






