KPDN rampas lebih 5,000 jersi tiruan di Jalan Petaling

BAHAGIAN Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas sejumlah 5,403 helai jersi tiruan pelbagai jenama termasuk pasukan Piala Dunia FIFA 2026 dianggarkan bernilai RM270,150 selepas menyerbu empat gerai dan sebuah premis di Jalan Petaling, Kuala Lumpur semalam.

Dalam serbuan itu, turut ditahan ialah lima pekerja Bangladesh dan seorang Myanmar bagi membantu siasatan.

Peniaga warga asing itu dikesan mengaut keuntungan besar apabila menjual pelbagai jersi tiruan pada harga berlipat kali ganda di kawasan tumpuan pelancong itu walaupun produk jualan itu merupakan barangan tiruan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, setiap gerai mampu menjual sehingga 100 helai jersi tiruan sehari pada harga bermula RM50 sehingga lebih RM100 kepada pelancong asing.

“Jersi-jersi tiruan ini dijual secara fizikal kepada pelancong, sepertimana yang kita tahu di Petaling Street menjadi salah satu tempat tumpuan pelancong. Anggaran sehelai dijual dengan harga bermula RM50 untuk sehelai.

“Berdasarkan pemerhatian kami setiap premis anggaran bilangan helai yang terjual sekitar 100 helai, yang mana membawa kepada keuntungan secara kasar lebih kurang dalam RM5,00,” katanya dalam sidang media selepas serbuan itu semalam.

Menurut beliau, jersi tiruan berkenaan dijual pada harga berbeza berdasarkan beberapa gred dan ditawarkan pada harga berlipat kali ganda berikutan permintaan tinggi terutama semasa kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.

Mohd Shahran berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi mengenal pasti pemilik premis dan majikan kepada kesemua pekerja warga asing terbabit.

Menurutnya, beliau percaya kesemua premis tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dimiliki peniaga yang berbeza.

Sementara itu tinjauan media di lokasi serbuan mendapati ramai pelancong asing yang datang secara khusus ke kawasan perniagaan terkenal itu untuk mendapatkan jersi Piala Dunia FIFA 2026.

Seorang pelancong dari Norway yang dikenali sebagai Jakob, 40-an berkata, percutian mereka sedikit terganggu selepas niat mahu membeli jersi di Jalan Petaling terbantut akibat serbuan itu.

“Apa yang berlaku, mengapa semua tempat tidak menjual jersi. Kami sekeluarga datang ke sini mahu membeli jersi Piala Dunia dan semua kedai kami pergi tutup.

“Kami sudah rancang untuk membeli jersi untuk keluarga tetapi operasi ini mengganggu percutian kami, kami akan pulang esok,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img