Lelaki terjatuh dari ketinggian 30 meter ketika mandi air terjun

SEORANG lelaki cedera selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 30 meter ketika mandi di kawasan Air Terjun Buntong dekat Menglembu di Ipoh hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, kedudukan mangsa yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi memerlukan anggota berjalan kaki serta mendaki laluan berbukit untuk sampai ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala serta luka pada badan selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh di atas batu.

“Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan aktiviti mandi manda bersama seorang rakan wanita di kawasan air terjun tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berada di lokasi dan memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum ketibaan bomba.

Tambahnya, anggota bomba bersama dua petugas KKM kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan menstabilkan mangsa sebelum membawanya keluar menggunakan pengusung melalui laluan berbukit.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM untuk dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Operasi yang melibatkan tujuh anggota bomba bersama dua petugas KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.36 petang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img