Penyandang ADUN Gemas umum keluar Bersatu, letak jawatan ketua bahagian

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Ridzuan Ahmad daripada Bersatu mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menerusi surat bertarikh 11 Julai turut dimaklumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tampin.

“Saya Ridzuan Ahmad dengan ini mengemukakan peletakan jawatan saya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tampin berkuat kuasa pada hari ini Sabtu, 11 Julai.

“Seiring dengan peletakan jawatan tersebut, saya juga ingin memaklumkan bahawa saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada keahlian Bersatu, berkuat kuasa pada tarikh yang sama,” katanya dalam surat terbabit.

Ridzuan berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkannya dengan teliti dan beliau juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti, ahli-ahli bahagian serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan kepercayaan kepada saya sepanjang tempoh saya memegang amanah.

Beliau turut mendoakan agar parti terus maju dan berjaya pada masa hadapan.

Ridzuan ketika dihubungi mengesahkan mengenai surat berkenaan dan memaklumkan keputusannya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada parti melantik kepimpinan baharu yang disifatkan lebih baik untuk menerajui bahagian Tampin

“Saya merasakan saya perlu mencari satu wadah baharu dalam perjuangan politik saya. Insya-Allah dalam waktu terdekat saya akan buat keputusan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Ditanya sama ada keputusannya itu berkaitan dengan pergolakan dalaman parti itu yang sedang berlaku sekarang, Ridzuan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img