SATU kejadian puting beliung dilaporkan berlaku di kawasan sawah padi di Jalan Tali Air 4, berdekatan Terminal Sekinchan, Sabak Bernam pagi ini.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri Selangor, Ng Sue Lim berkata, berdasarkan maklumat awal, kejadian berlaku antara tiga hingga empat minit, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan.
“Kejadian putting beliung itu berlaku pada jam 11.40 pagi di tengah-tengah sawah padi dan berdekatan Terminal Sekinchan.
“Kita bersyukur kerana tiada kerosakan berlaku,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, lapor Bernama.
Terdahulu, video berdurasi 57 saat yang memaparkan kejadian puting beliung di tengah sawah padi dipercayai dirakam oleh penduduk tular dalam media sosial.






