Fahmi kesal Chean Chung letak jawatan MPP PKR

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, beliau mengenali Chean Chung sejak sekian lama termasuk ketika ahli politik itu berkhidmat sebagai pegawai penyelidik sebelum dipilih sebagai wakil rakyat.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, landasan perjuangan PKR tidak mengalami perubahan ketara seperti yang dibangkitkan oleh Chean Chung dalam kenyataan peletakan jawatannya.

“Saya cuma kesal beliau tidak bersama untuk menyampaikan pandangan. Dalam MPP, ada ramai pimpinan yang sering kali tidak mempunyai pandangan yang sama,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Beliau memberi contoh pemimpin PKR, Elizabeth Wong Keat Ping yang tetap menggunakan platform parti untuk menyatakan pendirian walaupun mempunyai pandangan berbeza dengan pimpinan lain.

Fahmi berkata, Chean Chung sepatutnya menggunakan platform dalaman parti untuk menyuarakan pendirian berhubung perkara yang tidak dipersetujui.

“Beliau telah dipilih oleh anggota dalam pemilihan parti bagi tempoh 2020 hingga 2025. Jadi saya kesal dengan tindakan itu kerana ramai yang mengundi saudara Chean Chung dan beliau perlu menjelaskan kepada pengundi serta anggota parti,” katanya.

Mengulas dakwaan Chean Chung berdepan tekanan daripada parti termasuk sekatan akses MyKhas, Fahmi berkata perkara berkenaan sepatutnya boleh dibincangkan secara dalaman.

“Dalam apa-apa perkara boleh datang berbincang, tidak menjadi isu. Malah saya boleh nyatakan saudara Chean Chung ada berhubung dengan saya tetapi tidak membangkitkan isu ini.

“Kalau nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” katanya.

Sebelum ini, Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MPP PKR berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti itu dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal sebagai ahli PKR serta meneruskan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya sehingga pembubaran Parlimen.

Beliau mendakwa keputusan itu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti yang didakwanya gagal membetulkan kesilapan serta memberi penjelasan terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img