Imigresen tumpaskan Geng Karim, kaut untung RM3.2 juta seludup migran

SINDIKET penyeludupan migran yang dikenali sebagai Geng Karim disyaki mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit, tumpas selepas premis yang dijadikan tempat persembunyian dan rumah transit diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi di lot kedai di Cheras, pada Rabu lalu.

Kegiatan sindiket terbabit yang dipercayai mengenakan caj tambang mencecah RM15,000 bagi setiap migran yang diseludup masuk ke Malaysia sehingga dianggarkan mengaut keuntungan sekitar RM3.2 juta sejak beroperasi awal Januari lalu.

SEBAHAGIAN daripada migran yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di Cheras mengakibatkan Geng Karim tumpas, Rabu lalu. GAMBAR: JIM

JIM dalam kenyataan berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 16 warga asing terdiri daripada 15 warga Bangladesh dan seorang Pakistan disyaki sebagai migran yang diseludup berjaya ditahan.

“Berdasarkan maklumat awal, imigran terbabit dipercayai berjaya diseludup masuk ke Malaysia pada hari yang sama melalui laluan haram di sekitar Pantai Timur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurut JIM, migran yang berjaya diseludup masuk melalui kawasan Pantai Timur kemudian akan dibawa ke rumah transit di Lembah Klang menggunakan jalan darat.

Kata jabatan itu, tiga lelaki Bangladesh disyaki ahli sindiket yang berperanan sebagai penjaga rumah transit dan dalang utama di Malaysia antara ditahan dalam serbuan itu.

“Modus operandi sindiket ini sejak mula beroperasi sangat kompleks dan terancang memandangkan migran yang diseludup dipercayai dibawa masuk ke Kemboja terlebih dahulu.

“Kemudian mereka diseludup melalui Kemboja ke selatan Thailand, seterusnya diseludup masuk ke Malaysia melalui sempadan di Kelantan,” kata JIM.

Pasukan serbuan turut menyita kenderaan disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah sindiket terbabit.

Menurut JIM lagi, kesemua individu ditahan berusia antara 20 hingga 52 tahun dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(ATIPSOM).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img