JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu yang sepatutnya dikeluarkan mulai 1 Jun ini, dijadualkan semula kepada satu tarikh akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta pengalaman urusan rakyat terus berada pada tahap terbaik.
“Orang ramai masih boleh memperbaharui PMA sedia ada seperti biasa dan pasport yang masih berkuat kuasa kekal sah digunakan sehingga tamat tempoh.
“Sebarang perkembangan lanjut berkaitan pelaksanaan PMA versi baharu akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi JIM dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, JIM amat menghargai kerjasama dan sokongan berterusan daripada orang ramai serta kekal komited dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara dan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
JIM sebelum ini memaklumkan PMA versi baharu dijadual dikeluarkan mulai 1 Jun ini.
PMA versi baharu itu dilengkapi 94 ciri keselamatan bagi memastikan dokumen terbabit kekal selamat dan sukar dipalsukan.
Ciri keselamatan baharu itu antaranya akan dilengkapi elemen visual tersembunyi, hologram dan cetakan sinaran ultraungu (UV).
Selain itu, benang digunakan untuk menjahit buku pasport terbabit turut memiliki ciri keselamatan khas.


