BARISAN Nasional (BN) secara rasmi berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media keputusan rasmi PRN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Johor Bahru malam ini.
“Hari ini prosss pengundian bagi PRN Johor ke-16 telah berjalan dengan baik dan lancar.
“Bagi keseluruhan pengundian hingga jam 10.32 malam, BN telah memenangi sejumlah 29 kerusi daripada 56 kerusi yang diperuntukkan.
“Dan dengan ini telah berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” katanya.
BN memenangi kerusi DUN Kukup, Machap, Sedili, Bekok, Tenggaroh, Benut, Pekan Nanas, Penawar, Pasir Raja, Bukit Permai, Yong Peng, Rengit, Bukit Kepong, Pulai Sebatang, Johor Lama dan Buloh Kasap.
Gabungan itu juga berjaya memenangi DUN Gambir, Mahkota, Bukit Pasir, Permas, Parit Raja, Parit Yani, Layang-Layang, Tanjung Surat, Tiram, Tangkak, Panti, Kota Iskandar dan Endau.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) setakat ini memenangi dua kerusi iaitu DUN Bentayan dan Mengkibol.






