
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai depan dijangka bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di 32 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.
BN dan PH masing-masing mempertaruhkan calon di semua 56 kerusi DUN manakala PN mengagihkan 32 kerusi ditandinginya antara Bersatu, Pas dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Berdasarkan senarai penuh calon yang diumumkan secara berasingan oleh gabungan PN malam tadi, Bersatu akan bertanding di 16 kerusi manakala Pas (11) dan MIPP (5).
Sebanyak 16 kerusi yang menyaksikan saingan antara BN, PH dan Bersatu adalah Kemelah, Bukit Kepong, Bukit Pasir, Serom, Bukit Naning, Semarang, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Layang-Layang, Tenggaroh, Panti, Sedili, Johor Lama, Penawar dan Stulang.
Sementara itu, 11 kerusi yang akan ditandingi BN, PH dan Pas pula adalah Jementah, Tenang, Simpang Jeram, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Kahang, Endau, Pasir Raja dan Tiram.
Lima lagi kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PH dan MIPP adalah Pemanis, Paloh, Permas, Kota Iskandar dan Bukit Permai.
Pertembungan tiga parti besar itu menyaksikan beberapa ‘kerusi panas’ akan menjadi tumpuan pada PRN kali ini antaranya Puteri Wangsa, Endau, Machap dan Bukit Kepong.
Kerusi DUN Bukit Kepong menyaksikan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (PH) bakal berdepan calon BN dan calon PN iaitu bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Shahruddin Jamal dalam saingan tiga penjuru.
Kerusi DUN Endau turut mencuri perhatian apabila bekas penyandang kerusi itu, Alwiyah Talib kembali bertanding atas tiket UMNO selepas meninggalkan Bersatu awal bulan ini.
Kerusi DUN Machap turut menjadi perhatian apabila penyandang yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mempertahankan kerusi berkenaan.
Kerusi lain yang turut dijangka menjadi perhatian adalah DUN Skudai yang setakat ini menyaksikan BN, PH, PN bakal bertanding selain Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mempertaruhkan calon tunggal pada PRN kali ini.
PRN kali ini juga bakal menyaksikan pertandingan lebih empat penjuru tidak termasuk calon Bebas selepas parti baharu iaitu Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebelum ini mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi DUN.
Kerusi yang akan ditandingi Bersama adalah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.
Semua nama calon Bersama akan diumumkan di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru malam ini.
Daripada jumlah berkenaan, tujuh kerusi kini disandang UMNO, DAP (5), PKR (1) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) (1).
DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pada PRN 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH (12), PN (3) dan Muda (1).
Hari penamaan calon ditetapkan esok diikuti pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari pengundian pada 11 Julai.






