Onn Hafiz tekad jaga semua bangsa demi Bangsa Johor, selepas BN isytihar menang

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz menyifatkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan mandat kepada parti komponen itu untuk menjaga semua bangsa.

Beliau berkata, kemenangan besar melebihi 40 kerusi dalam PRN kali ini memberi suntikan semangat baharu kepada Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat dengan lebih baik bagi penggal berikutnya.

Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor itu bersyukur dengan sokongan padu rakyat Johor sehingga BN memperoleh kemenangan lebih besar berbanding 40 kerusi pada PRN Johor 2022.

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya bagi pihak kepimpinan Barisan Nasional Johor ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu memberangsangkan.

“Ia memberikan kami Barisan Nasional Johor semangat untuk terus berkhidmat dan menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih baik lagi.

“Itu komitmen kami bila mendapat mandat sebegini rupa,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, malam ini. Yang turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Machap turut mengingatkan semua wakil rakyat BN yang memenangi kerusi ditandingi bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah yang amat besar.

“Mandat yang diberikan kepada kita adalah mandat untuk menjaga seluruh Bangsa Johor. Sama ada yang menyokong kita ataupun tidak, itu tidak penting. Bila kita dah menang, Bangsa Johor yang saya kasihi, kita akan jaga semua bangsa, Melayu, Cina, India, Orang Asli, kita semua Bangsa Johor.

“Sama-sama kita rapatkan saf, kita buang yang keruh, kita ambil yang jernih. Musim pilihan raya negeri Johor sudah berakhir. Sekarang, tanggungjawab kita adalah untuk membina Johor yang kita semua dambakan, yang kita semua impikan bersama, insya-Allah,” katanya.

Setakat jam 8.30 malam, BN mendahului di 49 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) di tujuh daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Sesebuah parti atau gabungan perlu memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi bagi menguasai majoriti dalam DUN Johor yang mempunyai keseluruhan 56 kerusi. Bagi majoriti dua pertiga, sesebuah parti perlu memenangi 39 kerusi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img