PGA rampas 400,000 batang rokok putih seludup

CUBAAN menyeludup 400,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai ke Kuala Besut, Terengganu gagal apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan seorang lelaki serta merampas dua kenderaan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM813,000 dalam Op Taring Alpha 1 di Kampung Pulau Panjang, malam tadi.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu dilakukan hasil operasi Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Menurutnya, operasi kira-kira jam 9 malam itu bermula selepas anggota yang menjalankan rondaan di Kampung Pauh mengesan sebuah Proton Exora dan Nissan Grand Livina dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan kemudian mengekori kedua-dua kenderaan itu sehingga ke Kampung Pulau Panjang.

“Sejurus kedua-dua kenderaan berhenti di bahu jalan, kedua-dua pemandu bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran. Bagaimanapun, seorang lelaki berusia 29 tahun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan, manakala seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan menemukan 40 kotak besar mengandungi 400,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai.

Katanya, semakan melalui sistem MCAD Polis turut mendapati kedua-dua kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu kerana nombor yang dipasang tidak sepadan dengan nombor casis sebenar.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku rokok berkenaan akan dihantar ke pasaran di Kuala Besut.

“Suspek juga mengaku mengambil kenderaan yang telah siap diisi dengan rokok di tepi jalan di Kampung Pauh sebelum menghantarnya ke destinasi yang diarahkan,” katanya.

Menurut beliau, suspek dibayar antara RM150 hingga RM200 bagi setiap penghantaran, namun mendakwa tidak mengenali dalang sindiket kerana hanya berurusan melalui aplikasi komunikasi.

Ahmad Radzi berkata, keseluruhan rampasan membabitkan rokok seludup bernilai RM748,000, sebuah Proton Exora bernilai RM35,000 dan sebuah Nissan Grand Livina bernilai RM30,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada JSJ IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img