CUBAAN seorang rakyat Malaysia menyeludup hampir tiga kilogram heroin bernilai kira-kira RM2.09 juta ke Macau gagal apabila dia ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau selepas bagasinya diperiksa pihak berkuasa.
Memetik laporan Berita Harian, Polis Kehakiman Macau dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek berusia 24 tahun itu tiba dengan penerbangan dari sebuah negara di Asia Tenggara pada lewat malam 20 Jun lalu.
Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan dikesan hasil risikan dan pemantauan Bahagian Narkotik Polis Kehakiman Macau terhadap taktik penyeludupan dadah antarabangsa.
“Suspek ditahan sebaik mengambil bagasi berdaftarnya sebelum pemeriksaan menemukan 49 kotak biskut tuna yang dibungkus rapi.
“Setiap kotak mengandungi dua paket biskut dan satu tin pes tuna. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa tin itu bukan berisi pes tuna, sebaliknya mengandungi serbuk putih yang mencurigakan,” katanya.
Menurut polis, ujian awal menggunakan alat pengesan dadah mudah alih mendapati serbuk putih itu dipercayai dadah.
Pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Sains Forensik Polis Kehakiman mengesahkan bahan berkenaan ialah heroin seberat 2,987 gram dengan anggaran nilai pasaran kira-kira 4.18 juta pataca Macau (RM2.09 juta).
Siasatan mendapati lelaki terbabit dipercayai direkrut oleh sindiket pengedaran dadah di Malaysia yang menjanjikan bayaran RM3,000 selepas berjaya menghantar dadah berkenaan.
Difahamkan, suspek diarahkan mengambil bekalan heroin itu di sebuah negara Asia Tenggara sebelum membawanya ke Macau, seterusnya dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket.
Susulan itu, lelaki berkenaan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Macau atas kesalahan mengedar dadah narkotik dan bahan psikotropik secara haram.
Di Macau, kesalahan mengedar dadah dianggap jenayah serius yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.






