KELANTAN mencatatkan 2,190 panggilan kebakaran sepanjang Januari hingga Jun lalu, sekali gus menjadi negeri kedua tertinggi merekodkan insiden itu di negara ini selepas Kedah, dengan kebanyakan kes berpunca daripada pembakaran terbuka.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding hanya 242 panggilan yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan paling ketara berlaku pada Mac dan April, dengan sebahagian besar kes membabitkan pembakaran terbuka yang dilakukan bagi tujuan pertanian dan pembersihan kawasan.
“Kebanyakan pembakaran terbuka adalah akibat sengaja dibakar untuk tujuan pertanian dan pembersihan, jadi kalau boleh, elakkan tapi jika tetap nak buat pembakaran, tolong kawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Kebakaran dan Program ‘Fire Point’ Bomba Komuniti di Kampung Teluk Renjuna, Tumpat, semalam.
Mengulas persediaan menghadapi cuaca panas, Farhan berkata, JBPM Kelantan sudah bersiap sedia susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa fenomena Super El Nino dijangka berlaku bermula November depan hingga Januari 2027.
Katanya, sebagai langkah kesiapsiagaan, sebanyak 32 jentera bomba dan 40 pam air telah ditempatkan di semua balai bomba di negeri itu bagi memastikan operasi pemadaman dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.
“Dalam tempoh El Nino, jangkaan taburan hujan adalah lebih rendah berbanding biasa. Sebab itu kita membuat persediaan awal dengan menempatkan aset dan kelengkapan mencukupi di setiap balai,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera terhadap sebarang kejadian pembakaran terbuka dan berharap kerjasama pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat dipertingkatkan bagi memantau aktiviti yang berisiko mencetuskan kebakaran.






