POLIS Kelantan mengesan empat kes kecurian kabel penghubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini sejak awal tahun dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM20,000.
Bagaimanapun, kegiatan itu dipercayai berjaya dipatahkan selepas penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang disyaki menjadi dalang utama kes berkenaan bulan lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati semua kejadian dilaporkan berlaku di Pasir Puteh sebelum kabel yang dicuri dijual semula ke premis besi buruk.
Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai mengambil masa kira-kira sejam bagi setiap operasi sebelum melarikan hasil curi.
“Sebelum ini banyak kes seumpama ini dilaporkan berlaku di Pahang dan Terengganu, namun kini kegiatan sama dikesan sudah masuk ke Kelantan apabila kita merekodkan empat kes tahun ini.
“Siasatan mendapati suspek akan mengambil masa kira-kira satu jam untuk melakukan kegiatan itu sebelum menjual kabel yang dicuri di premis besi buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, dua suspek yang ditahan dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak Februari lalu.
Katanya, kejayaan menahan kedua-dua lelaki terbabit sekali gus membantu polis menyelesaikan kes berkenaan.
“Alhamdulillah kita berjaya menyelesaikan kes ini dan pada masa sama sudah mengadakan perbincangan dengan pihak ECRL bagi mempertingkat aspek keselamatan.
“Antara cadangan dikemukakan ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu bagi mengekang kegiatan curi kabel daripada terus berulang,” katanya.
Beliau turut mengakui faktor lokasi landasan yang melalui kawasan hutan dan belum beroperasi sepenuhnya antara keadaan yang membuka ruang kepada kegiatan jenayah itu berlaku.






