Polis kesan pemandu langgar Bezza hingga penumpang wanita maut

POLIS sedang mengesan pemandu sebuah kereta berwarna putih yang dipercayai melanggar sebuah Perodua Bezza sebelum meninggalkan lokasi dalam kemalangan maut di Kilometer 298.8 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang merupakan penumpang Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza berwarna coklat yang dinaiki tiga individu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan.

Katanya, kenderaan itu kemudian melanggar penghadang besi di bahagian kanan jalan dan berpusing di laluan.

“Ketika itu, sebuah kereta berwarna putih yang datang dari arah belakang dipercayai melanggar Perodua Bezza sebelum pemandunya meninggalkan lokasi kejadian.

“Akibat perlanggaran itu, penumpang wanita berusia 27 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu lelaki warga tempatan berumur 20 tahun dan seorang penumpang lelaki warga tempatan berumur 22 lagi cedera dan sedang dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan berkenaan, khususnya berkaitan kereta berwarna putih yang terlibat, supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd. Suod di talian 017-3818422 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Naazron menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img