SEORANG remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Plentong berhampiran jambatan Permas, Johor Bahru hari ini manakala rakannya berjaya diselamatkan.
Remaja hilang dikenal pasti sebagai Mohd Adli Mohd Faizal, 14, manakala rakannya yang diselamatkan orang ramai itu ialah Mohd Izran Helmi Abdullah, 14.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan I Saiful Bahari Mahpop berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.30 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Johor Jaya dan BBP Skudai bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah pikap serta sebuah bot.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati terdapat dua mangsa dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti mandi di sungai berkenaan.
“Seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) turut dimaklumkan bagi membantu operasi SAR yang diteruskan sehingga lewat petang tadi.






