SEORANG wanita ditemukan rentung selepas kereta dipandunya terbakar dalam kejadian di jejambat Jalan Sibu-Bintulu, di Selangau, Kuching malam ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa dikenal pasti sebagai Simbut Sigai, 49, ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 malam.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai dan tiba pada jam 7.24 malam.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati sebuah kereta sedang terbakar membabitkan bahagian enjin dan hadapan kenderaan. Maklumat awal diterima memaklumkan terdapat seorang mangsa masih terperangkap di dalam kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya, sebelum meneruskan operasi menyelamat.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.






