Anak bongsu vokalis Kumpulan Eye meninggal dunia akibat kemalangan motosikal

ANAK bongsu kepada vokalis kumpulan Eye, Izam,Muhammad Umar Al Faroq, 17 meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan  jalan raya, tengah malam tadi.

Izam atau nama sebenar, Mohd Izam Mohd Arshad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika Allahyarham Umar keluar menunggang motosikal untuk bertemu abangnya.

“Arwah keluar seorang diri hendak jumpa abangnya dan pergi minum. Saya berada di rumah ketika itu. Lebih kurang jam 12 tengah malam, saya dapat panggilan daripada anak yang beritahu Umar terbabit dalam kemalangan.

“Ketika itu, Umar dikatakan masih bernyawa. Namun, apabila saya tiba di lokasi, tangan dia sudah sejuk dan tidak lagi memberi sebarang tindak balas. Petugas ambulans kemudian mengesahkan arwah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya lapor BH Online.

Izam mengakui sukar menerima pemergian anak bongsunya itu kerana semuanya berlaku terlalu pantas.

“Saya masih tidak percaya. Semalam dia sempat buat aiskrim dengan emaknya. Saya juga sempat bertanya sama ada dia ada duit atau tidak. Itulah kali terakhir kami berkomunikasi.

“Saya sedih kerana semuanya berlaku terlalu cepat. Saya sangka saya yang sakit ini akan pergi dahulu, rupanya dia yang mendahului saya. Itu yang paling menyentuh hati saya,” katanya .

Bagaimanapun beliau tetap reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya ajal maut adalah ketetapan Allah SWT.

“Orang kata ajal maut di tangan Allah. Tidak akan cepat atau lambat walau sesaat. Saya hanya berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan roh anak saya dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Jenazah Allahyarham Umar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur , selepas solat Zohor, hari ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img