DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap penjaja tanpa lesen menerusi Operasi Bersepadu Tebah Siri 4/2026 yang menyaksikan 11 gerai dikenakan tindakan sita dan pemindahan barangan di sekitar Jalan Selayang Baru serta Pasar Harian Selayang, hujung minggu lalu.
Operasi selama empat jam yang bermula malam Sabtu hingga awal pagi Ahad itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan penjaja tanpa lesen termasuk premis yang dikendalikan warga asing, selain aktiviti perniagaan yang menghalang laluan awam serta melanggar syarat lesen yang ditetapkan.
“Selain menyita dan memindahkan barangan serta peralatan perniagaan, DBKL turut mengeluarkan empat notis kompaun terhadap penjaja warga tempatan yang menjalankan perniagaan tanpa lesen serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran.
“Antara barangan yang diperiksa dalam operasi itu ialah buah-buahan, sayur-sayuran, barangan basah, barangan am dan pelbagai barangan lain,” menurut kenyataan itu.
DBKL berkata, semua barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.
Dalam operasi sama, PDRM dan MPS turut menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja warga asing yang bertugas sebagai pengelola atau pembantu di premis-premis perniagaan berkenaan.
“Operasi bersepadu itu akan diteruskan secara berkala sebagai langkah memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa mematuhi undang-undang serta syarat pelesenan yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, tindakan berterusan itu juga bertujuan memastikan kawasan perniagaan awam kekal teratur, selamat dan tidak disalahgunakan oleh pihak yang melanggar peraturan.






