SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan International Regulatory Conference (IRC) 2026 bagi menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, syarikat teknologi, ahli akademik serta organisasi antarabangsa dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat perbincangan mengenai masa depan ekonomi digital dan kawal selia teknologi.
Persidangan selama dua hari pada 21 dan 22 Julai depan di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur itu bertemakan Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust akan memfokuskan kepada cabaran serta peluang yang dibawa oleh teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI), media sosial, privasi data, robotik, teknologi kuantum dan tadbir urus digital.
IRC 2026 tampil sebagai platform ketika dunia sedang berdepan perubahan teknologi yang pantas untuk membincangkan bagaimana inovasi boleh terus berkembang tanpa mengabaikan keselamatan pengguna, perlindungan kanak-kanak, hak privasi serta kepercayaan masyarakat terhadap ekosistem digital.
Majlis perasmian IRC 2026 akan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan persidangan itu akan dimulakan dengan ucaptama Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez bertajuk Balancing Safety and Freedom: How Can We Protect Minors Online Without Stifling Their Digital Growth.
Ucaptama beliau itu akan menyentuh cabaran melindungi golongan muda di internet tanpa menjejaskan perkembangan dan kreativiti digital mereka.
Antara sesi paling penting dalam IRC 2026 pula adalah dialog Online Safety by Design, yang memberi fokus kepada usaha menjadikan platform digital lebih selamat sejak peringkat pembangunan teknologi.
Dialog tersebut menghimpunkan Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki; Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak UNICEF, Saskia Blume; Pengasas Tune Talk, Gurtaj Singh Padda; Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-Undang), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Thiyagu Ganesan serta Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.
Perbincangan dijangka menyentuh tanggungjawab platform media sosial dalam melindungi pengguna muda, mekanisme keselamatan secara reka bentuk (safety by design), perlindungan data kanak-kanak serta keseimbangan antara kebebasan menggunakan internet dengan keperluan kawal selia.
Isu keselamatan kanak-kanak dalam talian kini menjadi antara agenda utama banyak negara susulan peningkatan kes buli siber, eksploitasi seksual, penyebaran kandungan berbahaya serta penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak pada usia yang semakin muda.
Selain keselamatan pengguna, IRC 2026 turut memberi perhatian kepada isu kedaulatan data dan perlindungan hak pengguna.
Dialog bertajuk Sovereign Data, Empowered Citizens menghimpunkan Ketua Penyelesaian Awan Maxis, Chin Kok Loon; Ketua Pegawai Kawal Selia T&G Digital, Foo Yeong Jin; Ketua Keselamatan Ericsson, Dr. Connie McIntosh serta Ketua Hal Ehwal Luar Sea dan Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Mohamed Din.
Perbincangan dijangka meneliti bagaimana Malaysia boleh memperkukuh perlindungan data peribadi, membina kepercayaan pengguna terhadap ekonomi digital serta memastikan inovasi terus berkembang tanpa mengorbankan keselamatan maklumat.
Topik ini menjadi semakin penting apabila penggunaan kecerdasan buatan, perkhidmatan awan, pembayaran digital dan e-dagang semakin meluas dalam kehidupan harian.
Dalam usaha merangka dasar digital yang lebih berkesan, IRC 2026 turut membincangkan hubungan antara dasar kerajaan dengan keperluan industri.
Dialog Regulatory Aspiration vs. Economic Reality membariskan Ahli Suruhanjaya MCMC, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod; Pengerusi Eksekutif ISIS Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah serta Timbalan Ketua Pengarah Infocomm Media Development Authority (IMDA) Singapura, Aileen Chia.
Sesi itu dijangka berkongsi pengalaman Malaysia dan Singapura dalam menggubal dasar digital yang bukan sahaja melindungi pengguna, malah mampu menggalakkan pelaburan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
Kecerdasan buatan menjadi antara tema utama persidangan apabila satu dialog khas membincangkan hubungan AI dengan bidang kemanusiaan.
Panel melibatkan wakil Sekretariat ASEAN, Hazremi Hamid; Pengarah AI & Data Transformation PwC Southeast Asia Consulting, Victoria Wymark; Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pengajaran dan Kurikulum UKM, Prof Madya Ts Dr Muhd Helmi Norman serta Ketua Bahagian Teknologi dan Perkhidmatan Pra-Emptif CyberSecurity Malaysia, Fazlan Ahmad.
Perbincangan bukan hanya menyentuh kemampuan AI, malah risiko penyalahgunaan teknologi, cabaran etika, keselamatan siber serta kesan terhadap pendidikan dan masyarakat.
Hari kedua diteruskan dengan dialog mengenai teknologi kuantum yang menampilkan pakar daripada Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan IBM Quantum Asia Pasifik serta Jepun.
Turut menjadi perhatian adalah dialog mengenai revolusi robotik yang melibatkan wakil AGI Bot, Pulsy Technologies dan Universiti Malaya, bagi membincangkan keperluan kerangka kawal selia apabila penggunaan robot pintar dan sistem autonomi semakin berkembang dalam pelbagai sektor.
Berbeza dengan kebanyakan persidangan teknologi yang hanya memberi tumpuan kepada inovasi, IRC 2026 turut mengangkat isu kesejahteraan manusia.
Dialog Digital Dependency and Human Autonomy akan menghimpunkan pengasas RELATE Malaysia, Dr Chua Sook Ning; Ketua Pegawai Eksekutif Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia, Mediha Mahmood serta ahli psikologi klinikal Universiti Malaya, Dr Lai Siew Tim.
Panel dijangka membincangkan kesan penggunaan teknologi secara berlebihan terhadap kesihatan mental, hubungan sosial, integriti maklumat serta kebebasan individu dalam dunia yang sentiasa bersambung kepada internet.
Pendekatan ini menunjukkan pembangunan digital tidak lagi dinilai berdasarkan kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesan terhadap kesejahteraan masyarakat.
Persidangan turut memberi penekanan kepada kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran digital yang semakin kompleks.
Dialog mengenai kerjasama kawal selia serantau menghimpunkan Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian ITU, Sulyna Abdullah; wakil Sekretariat ASEAN, Hazremi Hamid; serta Pengarah Kanan Hal Ehwal Serantau Asia Pasifik Internet Society, Noelle de Guzman.
Selain itu, sesi mengenai transformasi industri akan memfokuskan kepada penggunaan teknologi digital dalam sektor kesihatan menerusi penyertaan wakil Kementerian Kesihatan, U Mobile, Huawei Malaysia dan Cloud Solutions.
Persidangan diakhiri dengan dialog mengenai pembangunan bakat digital dan masa depan pekerjaan yang melibatkan Huawei Malaysia, Pinnacle Connexion serta Government-Industry TVET Coordination Body.
Senarai penceramah IRC 2026 memperlihatkan gabungan organisasi antarabangsa seperti UNICEF, ITU, Sekretariat ASEAN dan Internet Society bersama syarikat teknologi global termasuk IBM Quantum, Ericsson, Huawei dan PwC selain institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta pemain industri tempatan.
Penyertaan pelbagai pihak ini mencerminkan bahawa cabaran dunia digital tidak lagi boleh diselesaikan secara bersendirian. Isu seperti kecerdasan buatan, perlindungan data, keselamatan siber, kandungan dalam talian dan pembangunan bakat memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil.
Melalui IRC 2026, Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada sebuah persidangan antarabangsa, malah berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai antara negara yang aktif menyumbang kepada pembentukan dasar komunikasi dan multimedia di peringkat serantau serta global.
Dalam era yang semakin dipacu oleh AI, data dan rangkaian digital, perbincangan mengenai regulasi bukan lagi sekadar soal undang-undang. Ia menjadi asas kepada pembinaan ekosistem digital yang selamat, berdaya tahan dan dipercayai, sekali gus memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati secara inklusif oleh masyarakat.






