JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan operasi bersepadu di beberapa negeri bagi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) hari ini dan semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, sebanyak 503 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) di 16 lokasi seluruh negara.
Katanya, operasi berkenaan disertai 876 anggota dan pegawai antaranya daripada Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Beliau berkata warga asing berusia 22 hingga 52 tahun yang ditahan itu dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti salah guna pas, tinggal lebih masa, pas tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan sah.
DI KUALA LUMPUR, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menahan 18 PATI dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di 12 premis sekitar ibu negara hari ini
Pengarahnya Hamsha Injau berkata operasi yang bermula pada 10.15 pagi itu melibatkan 33 pegawai imigresen serta 11 pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menyasarkan premis perniagaan yang dipercayai menggaji atau dikendalikan warga asing.
“Sebanyak 39 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 18 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur..
Beliau berkata kesemua tahanan berusia antara 25 hingga 32 tahun dan terdiri daripada empat lelaki warga Indonesia, seorang wanita Bangladesh, tiga wanita India, enam lelaki dan seorang wanita Myanmar serta tiga lelaki Pakistan.
Hamsha berkata premis yang diserbu melibatkan sektor gunting rambut, kedai runcit, kedai makan serta pusat cuci kenderaan dan hasil siasatan awal mendapati warga asing yang bekerja di premis itu menerima gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.
DI MARANG, sebanyak 10 warga asing termasuk empat kanak-kanak ditahan dalam operasi bersepadu JIM Terengganu di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang.
Pengarah JIM Terengganu Mohd Yusri Mohd Nor berkata operasi yang bermula 10 pagi itu melibatkan 47 pegawai dan anggota daripada JIM Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Marang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu.
“Dalam operasi ini, kita memeriksa 61 warga asing yang bekerja di lapan premis perniagaan termasuk kedai makan, pusat basuh kereta dan kedai perabot,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di Bukit Payong.
Mohd Yusri berkata kesemua individu yang ditahan berusia empat hingga 31 tahun, terdiri daripada seorang lelaki Indonesia, seorang lelaki Bangladesh dan lapan warga Myanmar, iaitu seorang lelaki, tiga wanita dan empat kanak-kanak.
Beliau berkata dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan yang ditahan itu berusia antara empat hingga 11 tahun.
GEORGETOWN, JIM Pulau Pinang menahan 21 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di empat premis perniagaan sekitar George Town kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Pengarah Imigresen Pulau Pinang Syamsul Fitry Ahmad berkata operasi yang bermula 9 pagi itu dijalankan hasil risikan dan aduan awam terhadap premis yang disyaki menggaji atau dikendalikan warga asing.
“Dalam operasi itu, sebanyak 35 individu telah diperiksa sebelum 21 lelaki ditahan iaitu 15 warga India dan masing-masing tiga warga Bangladesh serta Myanmar yang kesemuanya berusia 18 hingga 51 tahun.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, memiliki kad pengenalan yang tidak diiktiraf serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas operasi di Jalan Datuk Keramat.
DI IPOH, JIM Perak menahan 22 pendatang tanpa izin dalam operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan di 12 premis sekitar Ipoh.
Pengarah Imigresen Perak Datuk James Lee berkata operasi yang bermula pada 10 pagi itu berjaya menahan 16 warga Bangladesh, dua (Indonesia), dua (Pakistan), seorang (Myanmar) dan seorang (Kemboja) berusia antara 25 hingga 45 tahun.
“Ketika serbuan dilakukan, beberapa warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, namun berjaya ditahan hasil tindakan pantas JIM dan PDRM.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, tidak memiliki pas yang sah dan gagal mengemukakan pasport ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.






