Ekspo Lada platform perkenalkan produk lada tempatan, buka peluang jaringan perniagaan

KERAJAAN  memperuntukkan RM126.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) bagi memperkukuh rantaian nilai industri lada negara, termasuk meningkatkan keupayaan pemprosesan, pembangunan produk hiliran bernilai tambah dan peluasan pasaran.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan industri lada negara terus berkembang dan mempunyai daya saing lebih tinggi.

Beliau berkata, antara inisiatif utama ialah pembangunan pusat pemprosesan lada di Johor dengan peruntukan RM17 juta bagi membantu pengusaha mendapatkan bekalan lada yang memenuhi spesifikasi ditetapkan.

“Kerajaan komited memperkukuh industri lada negara secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek pengeluaran, malah merangkumi pemprosesan, pembangunan produk hiliran dan peluasan pasaran. Melalui pembangunan pusat pemprosesan ini, kita mahu membantu pengusaha mendapatkan bekalan lada yang menepati spesifikasi sekali gus meningkatkan keupayaan industri menghasilkan produk berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Lada Malaysia 2026 anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Petaling Jaya, hari ini.

Selain itu kata beliau, sebanyak RM5 juta turut diperuntukkan bagi memperluas pemasaran produk lada Malaysia di dalam dan luar negara.

Menurut Noraini, usaha memperluas pasaran penting bagi memastikan produk lada tempatan mendapat pengiktirafan lebih meluas dan mampu bersaing dengan produk dari negara lain.

“Kita mahu produk lada Malaysia bukan sahaja dikenali dalam pasaran tempatan, tetapi turut berpeluang menembusi pasaran antarabangsa melalui strategi pemasaran yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, ekspo berkenaan menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian produk lada tempatan kepada orang ramai, selain membuka peluang jaringan perniagaan antara usahawan, peruncit, pengusaha makanan dan bakal rakan niaga.

Noraini berkata, setakat ini sebanyak 84 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah bimbingan MPB berjaya menghasilkan 255 produk runcit berasaskan lada.

Beliau berkata, jualan produk hiliran berkenaan dianggarkan mencapai purata RM20 juta setahun, sekali gus membuktikan potensi besar industri itu untuk terus berkembang.

“Penghasilan 255 produk runcit oleh 84 PMKS membuktikan lada mempunyai potensi besar untuk dikembangkan kepada pelbagai produk bernilai tambah. Kita mahu lebih ramai usahawan mengambil peluang ini untuk meneroka inovasi produk, memperluas perniagaan dan meningkatkan nilai komersial hasil lada tempatan,” katanya.

Kata beliau, peningkatan permintaan terhadap produk hiliran lada turut membuka peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan, selain memberi manfaat secara langsung kepada pekebun lada tempatan.

‘’Ini kerana pertumbuhan industri pemprosesan dan produk hiliran akan meningkatkan keperluan terhadap bekalan lada, sekali gus mewujudkan permintaan lebih tinggi terhadap hasil keluaran pekebun. Justeru, pengukuhan rantaian nilai industri lada perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan manfaat pembangunan industri dapat dinikmati semua pihak, daripada pekebun sehingga pengusaha produk hiliran dan pemain pemasaran,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here