SELAIN berhadapan dengan tindakan keluar daripada Bersatu beramai-ramai dan peletakan jawatan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT, Bersatu kini berisiko dengan tindakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Ia berikutan langkah empat Ahli Parlimen Bersatu membuat laporan kepada jabatan itu menggesa badan itu menyiasat sama ada MPT parti itu masih mempunyai kuorum yang diperlukan mengikut perlembagaannya untuk mengadakan mesyuarat.
Empat Ahli Parlimen tersebut Zakri Hassan (Kangar), Kalam Salan (Sabak Bernam), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) dan Muslimin Yahaya (Sungai Besar).
Dalam surat kepada Ketua Pengarah JPPM Zulfikar Ahmad, mereka mendakwa MPT Bersatu tidak lagi mempunyai kuorum yang diperlukan susulan ‘pemecatan, penggantungan dan peletakan jawatan lebih separuh daripada ahli MPT’.
‘’Isu ini penting kerana sebarang keputusan yang dibuat oleh MPT boleh memberi kesan langsung kepada mereka sebagai Ahli Parlimen Bersatu, termasuk perkara berkaitan undang-undang antilompat parti,’’ kata mereka dalam surat berkenaan.
Selain itu kata mereka, keputusan-keputusan tersebut juga secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN), gabungan dianggotai Bersatu.
Mereka memetik kenyataan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin pada Sabtu lalu bahawa hanya 23 daripada 49 ahli asal MPT yang tinggal, dan kuorum (50%) harus dikira berdasarkan jumlah ahli yang berbaki.
Keempat-empat Ahli Parlimen itu menyanggah tafsiran Radzi dengan menyatakan bahawa Fasal 13.2 perlembagaan Bersatu menetapkan keahlian MPT seramai 49 orang, manakala Fasal 13.12 mensyaratkan kuorum sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah itu, iaitu 25 orang.
“Kepatuhan terhadap peruntukan korum dalam perlembagaan parti bukanlah sekadar prosedur pentadbiran biasa yang boleh diabaikan atau ditafsir secara longgar.
“Ia syarat mandatori yang bersifat mutlak bagi menjustifikasikan kesahihan setiap keputusan yang dirumus dalam mesyuarat MPT,” kata mereka.
Mereka turut memetik keputusan Mahkamah Tinggi Karnataka pada 2024, yang menetapkan bahawa kuorum harus ditentukan berdasarkan jumlah keahlian yang ditetapkan bagi badan tersebut, bukannya jumlah ahli sedia ada.
Mereka berkata, mana-mana mesyuarat yang gagal memenuhi syarat tersebut tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.
“Oleh itu, kami berpandangan bahawa sebarang tindakan atau ketetapan yang terhasil daripada mesyuarat yang tidak mencapai korum adalah tidak sah (void ab initio) dan melanggar prinsip tadbir urus pertubuhan yang diperuntukkan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” kata mereka.
Mereka turut mendakwa, ketidakpatuhan terhadap perlembagaan Bersatu bukan sahaja mengetepikan peraturan parti itu sendiri, malah menjejaskan integriti ROS sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal selia pertubuhan.






