Hukuman FIFA: Persiapan Harimau Malaya hadapi Laos malam esok tidak terjejas

Skuad Harimau Malaya tetap memberi tumpuan penuh terhadap aksi menentang Laos dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 biarpun berdepan isu penggantungan tujuh pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengendali skuad negara Peter Cklamovski menegaskan isu berkenaan tidak menjejaskan persiapan pasukan bagi memburu tiga mata penuh menjelang pertemuan di Stadium Nasional Laos, Vientiane, malam esok.

“Apa yang berlaku (hukuman FIFA) adalah di luar kawalan kerana tiada apa yang boleh kita lakukan (sebagai pasukan). Lebih baik kita letakkan fokus di sini untuk mengharungi aksi menentang Laos.

“Pemain menunjukkan mentaliti yang kuat dan percaya dengan falsafah bola sepak yang diterapkan. Kami juga mahu terus memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia bahawa pasukan ini mampu mencipta sesuatu yang istimewa,” katanya pada sidang media praperlawanan di Vientiane, hari ini, lapor Bernama.

Cklamovski turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang rendah kemampuan Laos meskipun pasukan itu berada di ranking ke-185 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-123.

“Laos bukan lawan mudah. Saya mahu pemain memberikan komitmen sepenuhnya dan melaksanakan perancangan yang telah ditetapkan.

“Misi kami adalah untuk menang, mengekalkan rekod bersih dan menjaringkan seberapa banyak gol yang mampu,” katanya.

Sebelum ini, FIFA menggantung tujuh pemain warisan yang menyertai skuad kebangsaan awal tahun ini selama 12 bulan selepas terpalit isu pemalsuan dokumen.

Berdasarkan rekod, Malaysia mendominasi pertemuan dengan Laos apabila mencatat 13 kemenangan, lima seri dan hanya satu kekalahan daripada 19 perlawanan sejak 1968.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img