Inspektor mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah RM12,000

SEORANG pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM12,000 bagi tidak mendakwa dua wanita mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Rahman Khairuddin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Nur Fatma Atiqah Husin, 34, sebagai dorongan untuk tidak menuduh wanita itu bersama Fatimah Deraman mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada jam 10 pagi, 2 April tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, Abdul Rahman didakwa menerima wang tunai RM2,000 daripada Nur Fatma Atiqah melalui Siti Nur Hanani Husin sebagai balasan tidak mengambil tindakan pendakwaan terhadap kedua-dua wanita terbabit di lokasi dan tarikh sama, kira-kira jam 2.30 petang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang turut memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar bersama pegawai pendakwa, Rosmanazihah Othman, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Khir Khairuddin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan antaranya melapor diri di pejabat SPRM Kota Bharu setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img