Inspektor polis mengaku tidak bersalah terima, minta rasuah RM11,500

SEORANG inspektor polis didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM11,500 bagi menyelesaikan kes berkaitan aktiviti perjudian, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Firdaus Kamal, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara didakwa menerima suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 55 tahun.

Suapan itu sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes yang disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan bekas Pejabat Kuarantin Tumbuhan di Jalan Bagan Luar, kira-kira jam 3.45 petang, 22 Ogos 2024.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta suapan RM6,500 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Utara pada 21 Ogos 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Semasa prosiding, Noor Azura menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapi tertuduh selain menetapkan syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM sekali pada setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga perbicaraan selesai.

Bagaimanapun, Khaliq Mehtab memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya menyara seorang isteri tidak bekerja selain dua anak berusia 8 dan 12 tahun yang masih bersekolah termasuk ibu bapanya yang uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 12 Jun depan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img