Pegawai polis langgar lari anggota trafik direman 4 hari

SEORANG pegawai polis berpangkat inspektor yang disyaki terbabit kes langgar lari seorang anggota trafik di ibu negara minggu lalu, direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Liana Sulaiman selepas permohonan dibuat jam 10.30 pagi tadi.

“Pada jam 9 pagi, dua kertas siasatan berkait kes Trafik Kuala Lumpur iaitu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Pejabat Pendakwa Raya Negeri mengarahkan suspek direman di bawah Seksyen 307(2) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak JSPT akan melengkapkan kertas siasatan segera, seterusnya merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut.

Media semalam melaporkan, seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang menghidap masalah mental, skizofrenia ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, suspek seorang lelaki berusia 40 tahun itu juga sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.

Dalam kejadian pada 10 April lalu, anggota trafik, Konstabel Roslan Salleh, 27, dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Perodua Axia ketika mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning di Jalan Sultan Yahya Petra menghala ke Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Mangsa cedera di tapak tangan kanan, belakang kepala serta bahagian rusuk sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Pemandu kenderaan itu bagaimanapun melarikan diri sebelum berjaya ditahan semalam.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img