PERJALANAN pulang sepasang suami isteri bertukar tragedi apabila motosikal yang dinaiki mereka melanggar seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 35, Jalan Temerloh-Bahau, semalam, mengakibatkan si isteri maut manakala suaminya cedera.
Mangsa, Nor Harizan Muhamad Habri, 48, yang membonceng motosikal Yamaha ditunggang suaminya, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh kira-kira jam 4.25 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika pasangan itu dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan menuju ke Charuk Puting, Temerloh.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Kairil Akmal Zaibuddin, 50, melanggar seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan di laluan sehala.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal dan pembonceng tercampak ke atas jalan.
“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bera untuk mendapatkan rawatan sebelum pembonceng dipindahkan ke HOSHAS kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HOSHAS.
Katanya, suami mangsa pula masih menerima rawatan di Hospital Bera akibat kecederaan pada bahagian tulang rusuk.
Menurut Zulkiflee, babi hutan terbabit dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran selepas kemalangan itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





