TIGA anggota polis ditahan selepas disyaki terbabit dalam dua kejadian samun membabitkan warga asing di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, Alor Setar, baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian pertama pada 1 Julai lalu, seorang anggota polis dipercayai menyamar ketika melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Lorong Aman, Jalan Langgar sebelum melarikan barang kemas milik mangsa.
Menurutnya, suspek yang menunggang motosikal jenis skuter memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan pakaian seragam yang dipakai di dalam jaket sebelum meminta pengadu menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik mangsa, isterinya serta tiga anak mereka.
“Mangsa menyerahkan semua kad UNHCR kepada suspek, namun lelaki itu turut mengambil telefon bimbit mangsa kerana tidak mahu tindakannya dirakam.
“Suspek kemudian membuka sepasang subang emas daripada telinga isteri pengadu dan memasukkannya ke dalam poket seluar sebelum memulangkan semula telefon bimbit serta kad UNHCR dan beredar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis sebelum suspek berusia 26 tahun diberkas kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 2 Julai lalu.
“Hasil semakan mendapati suspek bertugas di IPK Kedah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Polis turut merampas kad kuasa PDRM, dua telefon bimbit, sepasang subang emas, motosikal serta beberapa barangan lain bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.
Mengulas kejadian kedua, Adzli berkata, dua lagi anggota polis dari Perlis ditahan selepas disyaki merampas wang tunai RM1,750 ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah penempatan etnik Rohingya di Padang Sera, Kubang Pasu pada 27 Jun lalu.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan pada hari sama selepas dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian.






