TAKTIK sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran menjalankan aktiviti menangkap hasil laut secara haram di perairan Pulau Ketam terbongkar apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 4.45 petang oleh aset ronda agensi itu di kedudukan 0.2 batu nautika utara Pulau Tengah ketika operasi rondaan rutin.
Menurut beliau, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas dan diperiksa oleh pasukan penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Myanmar berusia 44 tahun bersama lima kru, terdiri daripada empat warga Myanmar dan seorang warga Indonesia berumur antara 35 hingga 57 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut baru selesai menjalankan aktiviti menangkap hasil laut iaitu siput dan sedang dalam perjalanan ke Pulau Ketam.
Bagaimanapun, mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen atau lesen sah bagi menjalankan aktiviti perikanan, manakala tekong turut gagal mengemukakan dokumen berkaitan vesel.
“Kesemua suspek bersama bot serta hasil tangkapan dianggarkan seberat 10 kilogram telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut tanpa lesen, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bot tidak berdaftar serta Akta Imigresen 1959/63 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya.
Abdul Muhaimin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
“Penguatkuasaan akan terus dipergiat khususnya di perairan Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram yang menjejaskan sumber negara,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor bagi tindakan segera.


