PROJEK Midport Smart AI Port di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik dan maritim pintar serantau menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabuhan pintar itu mampu memenuhi keperluan strategik negara dalam meningkatkan kecekapan sektor logistik dan perdagangan.
Katanya, Selat Melaka yang menjadi antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia perlu dimanfaatkan melalui pembangunan pelabuhan berteknologi tinggi.
“Selat Melaka ini antara perairan yang paling sibuk di dunia. Jadi kalau paling sibuk di dunia, dan kita nampak dari lalu-lalang sahaja, tidak kita manfaatkan, kita ini tidak pintar.
“Projek ini super efisien, (dapat) mengurangkan masa dan mengurangkan kos. Ada kelebihan berbanding pelabuhan konvensional. Sebab itu saya rasa Midport adalah pendekatan yang tepat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Midport Smart AI Port di Port Dickson hari ini.
Anwar berkata, pelabuhan pintar itu akan menggunakan teknologi seperti analisis data masa nyata bagi mempercepatkan tempoh pengendalian kapal selain membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Menurutnya, projek berkenaan juga dibangunkan tanpa membebankan kewangan kerajaan menerusi kerjasama strategik dengan sektor swasta.
Dalam masa sama, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan di luar pusat pertumbuhan utama negara supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih seimbang.
“Apa yang kita mahukan? Kita nak siapkan negeri ini supaya bersaing secara aman dan berhasil bersaing dengan negara maju yang lain. Tidak lembab bicara tentang segala kerosakan dan tamak haloba, tumpu untuk membangunkan.
“Masih ada ruang untuk dibangunkan dan kita memilih kawasan yang berada di luar tumpuan pembangunan utama, seperti Linggi dan Port Dickson. Inilah yang sedang kita lakukan, iaitu membangunkan kawasan yang sebelum ini kurang kita berikan suntikan,” katanya.
Projek Midport Smart AI Port dijangka siap dalam tempoh 42 bulan dengan sasaran mencapai kesiapsiagaan operasi pada 2029 sebelum beroperasi sepenuhnya pada 2030.
Projek bernilai RM3.6 bilion yang diterajui sektor swasta itu meliputi kawasan seluas 180 ekar, dilengkapi enam dermaga serta berkeupayaan mengendalikan sehingga lapan juta unit setara 20 kaki (TEU) setahun apabila siap sepenuhnya selain dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.






