Dua beradik, kekasih berdepan hukuman mati edar dadah dalam cecair vape

DUA beradik bersama kekasih salah seorang daripada mereka berdepan hukuman mati selepas didakwa mengedar Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) yang dicampur dalam cecair rokok elektronik serta memiliki ketamin di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.

Tong Chia Soon, 35, adiknya, Tong Chia Poh, 30, dan Chloe Ong Jia Xuan, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan mengedar kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis MDMA seberat 1,656 mililiter (ml).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa bersama-sama memiliki cecair ketamin seberat 1,656ml dan 415.40 gram.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan semula kerana laporan kimia masih belum diterima selain tidak menawarkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img