SEORANG pemandu peribadi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas lima pertuduhan mengedar dadah pada Mac lalu yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Chai Koh Chun, 55, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 176.42 gram di sebuah rumah di Jalan Samarinda 5, Taman Satu Krubong, kira-kira jam 4 petang pada 8 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis Nimetazepam seberat 150.88 gram di lokasi, tarikh dan masa sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali.
Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan mengedar dadah jenis sama di lokasi dan tarikh sama, termasuk MDMA dengan anggaran berat kasar masing-masing 269,382.78 gram dan 298,650 gram serta satu lagi pertuduhan melibatkan Ketamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja dan Amy Chong.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 18 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, polis dilaporkan menumpaskan sindiket dadah bernilai RM86 juta menerusi tiga serbuan ke atas makmal haram dan stor dadah sintetik jenis MDMA pada 6 dan 8 Mac lalu.
Rentetan itu, pada 17 Mac, tertuduh bersama dua individu lain turut didakwa di bawah Seksyen 39B akta sama atas pertuduhan mengedar nimetazepam seberat 1,735.15 gram di sebuah rumah di Jalan PB 1, Taman Puncak Bertam, Melaka.


