SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden kekecohan dan ugutan jenayah di kawasan perumahan berhampiran Kolam Air Panas, Setapak.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, tangkapan itu dibuat susulan penularan hantaran di media sosial yang mendakwa berlaku pergaduhan bersenjata di kawasan berkenaan.
“Susulan siasatan, polis berjaya menangkap seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 36 tahun.
“Kertas siasatan dibuka dan kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan imej sebuah kenderaan yang mengalami kerosakan berupa kesan kemek, dipercayai berlaku susulan insiden berkenaan.
Berdasarkan hantaran itu, pengadu mendakwa berlaku pergaduhan membabitkan perbuatan membaling batu bata, kerusi serta objek keras.
Lebih membimbangkan, hantaran sama turut mendakwa terdapat individu menunggang motosikal sambil memegang senjata tajam yang disifatkan sebagai parang.
Annas berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan tindakan susulan sudah diambil.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan menyerahkan sepenuhnya kes ini kepada pihak berkuasa,” katanya.






