SEORANG lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah atas lapan pertuduhan berkaitan jenayah seksual terhadap anak perempuannya hari ini menarik balik pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan.
Pengakuan tidak bersalah itu direkodkan di Mahkamah Sesyen Tawau di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membabitkan dua pertuduhan rogol, lima pertuduhan amang seksual fizikal dan satu pertuduhan amang seksual bukan fizikal.
Pada prosiding 8 Jun lalu, tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan, namun hari ini menarik balik pengakuannya sebelum memohon agar kes itu dibicarakan.
Bagi dua pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan merogol terhadap anak perempuannya pada November 2023 dan Februari 2024 di kawasan ladang dekat Kalabakan.
Lelaki berusia 38 tahun itu turut didakwa melakukan lima kesalahan amang seksual fizikal terhadap mangsa antara Februari 2024 hingga Oktober 2025 di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini.
Selain itu, tertuduh berhadapan satu pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa pada Julai 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 dan Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin kemudian memohon satu tarikh baharu bagi urusan serahan dokumen serta pelantikan peguam.
Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk serahan dokumen, pelantikan peguam dan pengurusan kes selanjutnya.






