Kes tikam gadis 61 tikaman: Polis nafi bapa suspek pesara polis

POLIS menafikan dakwaan tular bahawa bapa kepada seorang suspek remaja lelaki yang ditahan berhubung kes pembunuhan seorang penuntut kolej dengan 61 tikaman, Jumaat lalu adalah pesara polis serta mempunyai pengaruh besar.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, bapa kepada suspek sebenarnya merupakan pesara di sebuah agensi kerajaan lain.

“Apa yang tular mengatakan pesara pegawai polis selain mempunyai ‘kabel’ besar adalah tidak benar sama sekali.

“Kita menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes ini dan berharap pihak luar tidak sesuka hati memuat naik maklumat yang tidak betul.

“Pada masa sama saya meminta orang ramai tidak mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan. Apa yang pasti siasatan menyeluruh sedang dijalankan, tidak wujud soal ‘kabel’ besar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, lapor TV3.

Terdahulu, media sosial dipenuhi dakwaan bahawa bapa kepada salah seorang suspek merupakan pesara polis selain mempunyai pengaruh yang boleh mempengaruhi siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, dua warga emas berusia 60 dan 66 tahun yang sebelum ini direman selama tiga hari telah dibebaskan dengan jaminan polis. Difahamkan, kedua-duanya adalah ibu bapa kepada salah seorang suspek remaja yang ditahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemui, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.

“Hasil pemerhatian di lokasi mendapati mangsa memakai rantai leher berukiran nama ‘SYAA’, selain seutas rantai tangan di pergelangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img