Bapa, anak perempuan 2 tahun cedera dalam nahas di Jalan Reko

SEORANG penjawat awam dan anak perempuannya berusia dua tahun cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Reko, Kajang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.45 pagi sebelum siasatan awal dijalankan di lokasi.

Menurutnya, kemalangan melibatkan dua buah kereta dengan sebuah kenderaan dipandu dari arah Kajang menuju ke Jalan Reko, manakala sebuah lagi datang dari arah bertentangan dan dipercayai sedang membelok masuk ke simpang menuju ke stesen MRT Jalan Reko.

“Akibat kemalangan itu, seorang penjawat awam lelaki berumur 36 tahun dan anak perempuannya berumur dua tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan.

“Seorang lagi pemandu iaitu peniaga lelaki berumur 50 tahun mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai atau tanpa pertimbangan munasabah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.

Naazron turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati terutama ketika melalui persimpangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img