TINDAKAN empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebaik sahaja pengumuman menarik sokongan terhadap kerajaan negeri menyukarkan sebarang rundingan, seperti mana diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, disebabkan tindakan `segera’ kesemua ADUN terbabit, kerajaan negeri terpaksa menutup pintu rundingan kerana tiada lagi ruang untuk berbincang.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, permintaan Perdana Menteri agar DAP menangguhkan hasrat berkenaan serta berunding mengenai perkara itu juga tidak dapat dipenuhi.
“Kita terima (surat) semalam selepas (mereka mengadakan) sidang media, dia orang terus hantar surat. Sebab itu hari ini kalau kita lihat perubahan kerusi (dalam Dewan) itu (dibuat) apabila kita menerima surat rasmi peletakan jawatan dan pengunduran dalam kerajaan, diterima pada kadar segera.
“Itu sebab apabila PM (Perdana Menteri) minta berunding, saya kata dah tak boleh berunding sebab dia orang dah serah semua surat,” katanya dalam sidang media pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
DAP Melaka semalam mengumumkan keputusan keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri Melaka dan melepaskan semua jawatan yang disandang dalam kerajaan negeri, termasuk jawatan Exco, Timbalan Speaker dan Timbalan Exco serta pelbagai pelantikan di bawah pentadbiran negeri.
Susulan itu, Ab Rauf mengesahkan kerajaan negeri menerima keputusan itu dan akan menguruskan segala proses berkaitan mengikut peruntukan Perlembagaan negeri serta peraturan yang berkuat kuasa.
Pada sidang media sama, beliau berkata, kerajaan negeri mengambil pendirian untuk `tunggu dan lihat’ terhadap sebarang keputusan Pakatan Harapan (PH) susulan mesyuarat gabungan itu yang dijadualkan berlangsung esok bagi membincangkan hubungan kerjasama dengan BN.
Ia susulan kenyataan Pengerusi PH negeri yang juga ADUN Bukit Katil, Adly Zahari yang memaklumkan gabungan parti itu akan bermesyuarat esok bagi menentukan hala tuju kerjasama antara PH dan BN di Melaka.
Katanya, pihaknya menghormati keputusan ADUN DAP, namun tiada lagi ruang untuk sebarang rundingan.
“Kita tunggu dan lihat. Saya tidak berani hendak cakap apa yang akan diputuskan esok, tetapi berdasarkan tindakan DAP yang mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan kerajaan ini, kita sudah menerima keputusan itu. Jadi, macam mana pula hendak berunding,” katanya.
Ab Rauf berkata, beliau turut menerima surat daripada PKR negeri yang tidak bersetuju dengan langkah dibuat DAP itu.
Sementara itu, beliau berkata hubungan baik dan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara dan segala perkara yang membawa manfaat kepada negeri serta rakyat Melaka sentiasa diberikan keutamaan, termasuk pintu kerjasama dalam aspek pembangunan, ekonomi, kebajikan dan kepentingan rakyat.
“Apa yang paling utama sekarang adalah memastikan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar. Saya memberikan jaminan kepada seluruh rakyat Melaka, penjawat awam, komuniti perniagaan, pelabur dan semua pihak berkepentingan bahawa urusan pentadbiran kerajaan negeri akan diteruskan seperti biasa.
“Kita akan terus bekerja dengan lebih kuat, tersusun dan berfokus bagi memastikan amanah rakyat dapat dilaksanakan sehingga selesai. Sebarang keputusan berkaitan penyusunan semula pentadbiran negeri akan dibuat secara teliti, berhemah dan berdasarkan kepentingan pentadbiran serta rakyat, bukan kerana tekanan politik atau tindakan yang terburu-buru,” katanya.
Beliau turut mengumumkan jawatan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna yang dikosongkan ADUN Kesidang, Allex Seah akan dipangku oleh seorang daripada Exco kerajaan negeri sedia ada.






