KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) dijangka menerima laporan lengkap berhubung insiden letupan bom tangan di Kem Hobart, Gurun pada 16 Jun lalu yang menyebabkan kematian dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), pada 23 Julai ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mindef sebelum ini menerima laporan daripada Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pada 13 Julai lalu, namun hasil semakan Markas Tentera Darat mendapati masih terdapat keperluan untuk memanggil semula beberapa saksi.
Selain itu beliau berkata, terdapat juga kemungkinan untuk mendapatkan keterangan saksi baharu bagi mengukuhkan dapatan siasatan.
“Justeru, ketika ini adalah terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian sebelum siasatan dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai punca insiden letupan bom tangan ketika latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini dan langkah segera kementerian bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan diperkasa serta kejadian sama tidak berulang.
Pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut dalam kejadian letupan bom tangan ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart.
Polis kemudian melengkapkan siasatan kes berkenaan sebelum menyerahkan laporan kepada ATM untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Dua minggu kemudian, satu lagi insiden berlaku di kem sama pada 29 Jun lalu, mengakibatkan dua anggota tentera cedera pada bahagian kaki ketika menjalani latihan menembak.






