Mindef peruntuk RM464,400 bantu pendidikan anak warga pertahanan

KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) memperuntukkan RM464,400 bagi program bantuan pendidikan dan insentif kecemerlangan akademik yang akan memanfaatkan 605 anak warga pertahanan pada tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun tanggungjawab utama kementerian adalah memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara, kebajikan serta kesejahteraan anggota dan keluarga mereka turut diberi keutamaan.

“Apa-apa yang kita lakukan yang membawa kesejahteraan kepada anggota dan keluarganya akan membantu usaha kita memastikan kesiapsiagaan ATM dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga kedaulatan serta pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) ATM 2026 di Wisma Perwira ATM, di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) digunakan sebagai instrumen bagi melaksanakan agenda pendidikan membabitkan anak-anak warga pertahanan.

Menurut beliau, melalui Yayasan LTAT, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk program tuisyen fizikal di sekolah dalam kem dan program tuisyen dalam talian untuk anak anggota yang bersekolah di luar kem.

Bagi menyokong pembelajaran digital, katanya, peserta program turut dibekalkan komputer riba bagi membolehkan mereka mengikuti sesi pembelajaran secara lebih berkesan.

Daripada jumlah peruntukan keseluruhan itu, RM166,000 disalurkan kepada 159 penerima menerusi bantuan melanjutkan pengajian ke universiti awam dan institusi pengajian tinggi di luar negara, manakala RM298,400 diperuntukkan kepada 446 pelajar cemerlang melalui Insentif Akademik AKP SPM 2026.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SPM 2025 kepada 181 pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang.

Selain itu, seramai 32 pelajar menerima bantuan pengajian ke universiti awam, manakala lima lagi menerima bantuan melanjutkan pengajian ke luar negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Mindef merancang memperluaskan inisiatif yang dapat meningkatkan minat anak-anak warga pertahanan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ke semua sekolah dalam kem di seluruh negara selepas projek rintis yang dijalankan di kawasan utara menunjukkan perkembangan positif.

“Kita telah buat pilot (projek rintis) di sekolah dalam kem sebelah utara dan kita dapati memang mereka ada minat.

“Jadi kita merancang untuk lakukan ke seluruh sekolah-sekolah dalam kem seluruh negara,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img