Hilang lebih sebulan selepas keluar cari durian, di mana Shahir?

POLIS meminta bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru, Georgetown, sejak 10 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berkenaan dikenali sebagai Shahir Zainul, 45, dan kali terakhir dilihat keluar dari rumah kira-kira jam 5 pagi dengan menunggang motosikal.

Katanya, kehilangan lelaki itu dilaporkan ibunya, Salmah Shamsudin, 72, pada 12 Jun lalu dan siasatan diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

“Hasil siasatan mendapati motosikal Yamaha Lagenda berwarna biru milik lelaki itu bernombor pendaftaran JLD 142 ditemukan di tepi Jalan Lebuh Bukit Jambul sebelum diserahkan semula kepada ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan.

Anuwal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan lelaki berkenaan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-866 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, Salmah mengharapkan anaknya pulang selepas hilang tanpa khabar berita sejak lebih sebulan lalu.

Menurutnya, Shahir dikatakan keluar untuk mencari durian di sebuah dusun durian di Relau sebelum tidak pulang ke rumah.

Salmah dilaporkan berkata, kehilangan Shahir menyebabkan dua anak lelakinya berusia 13 dan 15 tahun terlalu merindui bapa mereka.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img