2,560 anak pokok disyaki seludup dari Thailand dirampas

BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 2,560 anak pokok pelbagai jenis yang disyaki diseludup dari Thailand dan berkemungkinan membawa serangga perosak serta penyakit dalam dua operasi berasingan di Rantau Panjang, petang semalam.

Rampasan keseluruhan bernilai RM146,000 itu dilakukan di dua lokasi berasingan di Rantau Panjang.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan pertama dilakukan kira-kira jam 6.30 petang di Jalan Kampung Tok Deh apabila pasukannya menahan sebuah lori Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan mendapati lori itu dinaiki dua lelaki tempatan berusia 33 dan 37 tahun serta membawa 1,300 anak pokok termasuk tumbuhan hiasan Bromeliad dan pokok jambu batu.

“Nilai rampasan dianggarkan RM85,600 dan kita percaya kesemua anak pokok itu diseludup dari Thailand serta disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.

“Hasil soal siasat mendapati anak pokok berkenaan akan dibawa ke Pahang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, pemandu lori berusia 37 tahun itu mengaku bekerja sejak awal tahun lalu dengan menerima upah harian antara RM150 hingga RM200 mengikut trip perjalanan.

Menurutnya, lelaki terbabit hanya dipanggil bekerja apabila terdapat perjalanan ke luar Kelantan dengan kekerapan antara lima hingga enam kali sebulan.

Dalam rampasan kedua kira-kira jam 5.30 petang di Jalan Kampung Banggol Mek Pit, pasukan PGA9 merampas 1,000 anak pokok durian Duri Hitam dan 260 anak pokok durian D99 bernilai RM60,400.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap lelaki berusia 35 tahun yang juga pemandu lori mendapati kesemua anak pokok itu untuk dihantar ke Pengkalan Hulu, Perak.

“Suspek bekerja di sebuah nurseri milik keluarga dan ketika ditahan, dia sedang membawa anak pokok berkenaan ke destinasi terbabit,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img