
PARTI Wawasan Negara (Wawasn) dengan agenda Wajah Malaysia, menyasar meletakkan calon parti itu bagi bertanding kurang daripada 10 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini sebagai percubaan pertamanya memasuki gelanggang.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya juga yakin kerjasama dengan semua gabungan parti besar kecuali Pakatan Harapan (PH) mampu dimuktamadkan pada PRN Negeri Sembilan ini, walaupun strategi itu gagal dilaksanakan di Johor.
Menurut beliau, menerusi kerjasama itu, Wawasan menghormati prinsip penyandang kerusi yang perlu dikekalkan kepada parti sedia ada, turut menyasar untuk meletakkan calon bagi bertanding di kerusi tradisi DAP dan PKR.

“Bagi Negeri Sembilan, kita bersedia untuk bertarung bersama parti lain dengan meletakkan calon kita kurang daripada 10 kerusi dan akhirnya ada wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita mahu jadi jambatan semua parti besar kalau tengok demografinya kita ada Melayu, Islam, Bumiputera, Cina dan India.. saya fikir apa pasaran yang patut saya ambil kira untuk promosikan parti saya.
“Kalau PAS dengan Islamik, UMNO itu nasionalis… bagi Wawasan kita hendak tampil dengan rangka kerja bahawa parti ini adalah wajah sebenar Malaysia, wajah Malaysia, berbeza dengan parti lain,” katanya hari ini, lapor BH.
Wawasan kini menjadi parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Pas, Bersatu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Pada masa sama, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu berkata, agihan kerusi untuk Wawasan sudah dimuktamadkan namun ia hanya akan diumumkan pada hari ini.
Beliau berkata, Wawasan meletakkan 100 peratus calon tempatan membabitkan gabungan pemimpin itu daripada bekas pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan peguam yang menjadi kekuatan parti berkenaan.
Selain itu katanya, rundingan membabitkan kerjasama antara gabungan parti besar di Negeri Sembilan juga sedang berlangsung.
“Jadi dia tak boleh (duduk) sekali, dia kena dua kali, tiga kali, empat kali dan saya rasa di Negeri Sembilan ini sebab ia bermula daripada Johor lagi.
“Johor itu tidak boleh hendak muktamadkan. Jadi saya rasa insya-Allah kali ini boleh mencapai matlamat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya melihat penting untuk diadakan kerjasama membabitkan gabungan parti utama negara di Negeri Sembilan yang mampu memberikan rasa selesa dalam kalangan rakyat.
Katanya, malah keyakinan bahawa kerjasama membabitkan parti politik utama itu diyakini dapat direalisasikan di Negeri Sembilan susulan tiada kepimpinan yang baik di negeri itu, berbanding di Johor.
“Jangan kita bandingkan Johor dan Negeri Sembilan… saya rasa kekuatan di Johor adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi, itu sendiri yang membawa satu kekuatan untuk rakyat yang percaya bahawa beliau boleh mentadbir,” katanya.






