SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai mengugut ibunya menggunakan objek disyaki senjata tajam di hadapan Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda, Sungai Petani.
Kejadian itu dirakam orang awam sebelum videonya tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, suspek turut dibawa ke mahkamah semalam bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
“Polis sedang menjalankan siasatan sama ada suspek benar-benar melakukan ugutan atau kekerasan terhadap wanita terbabit yang dipercayai ibunya.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya ketika ditemui pada program Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), hari ini.
Hanyan berkata, siasatan menyeluruh turut dijalankan termasuk mengesan saksi kejadian dan mendapatkan rakaman video dari sudut lain.
Katanya, langkah itu bagi memastikan sama ada benar berlaku unsur keganasan atau kejadian berkenaan berpunca daripada salah faham akibat sudut rakaman.
“Saya menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sehingga kini polis masih belum menemui sebarang senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang merakam kejadian serta membuat laporan polis sehingga membolehkan tindakan segera diambil.






