Parti Wawasan Negara akan bertanding PRN Negeri Sembilan – Hamzah

PARTI Wawasan Negara akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang dijadualkan 1 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan dengan kepimpinan PN, khususnya parti-parti komponen gabungan adalah untuk menentukan agihan kerusi.

DATUK Seri Hamzah Zainudin (duduk tengah) bersama barisan kepimpinan Parti Wawasan Negara selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu untuk kali pertama di Kelab Golf Tropicana di Petaling Jaya hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

“Ya, kita akan mengambil bahagian dalam PRN Negeri Sembilan dan dari perbincangan itu nanti, kita akan memastikan sejumlah kerusi diperuntukkan kepada parti.

“Secara kasarnya, perbincangan sudah pun bermula, cuma saya tidak dapat mengesahkan jumlah kerusi itu sehingga mesyuarat rasmi PN diadakan.

“Saya bukan seorang yang suka membuat pengumuman lebih awal sebelum mendapat persetujuan jawatankuasa,” katanya dalam sidang media selepas mengetuai Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Wawasan Negara kali pertama di Petaling Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sebelum ini, Wawasan Negara memilih untuk tidak bertanding pada PRN Johor atas pertimbangan untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan parti gabungan.

“Tetapi pada PRN Negeri Sembilan nanti, insya-Allah kita akan masuk gelanggang. Dan gelanggang kali ini adalah sesuatu yang mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Johor.

“Maka sebab itu, hari ini kita bincang bagaimana kalau kita masuk gelanggang nanti atas bendera mana, siapa pengarah pilihan raya, semua ini kita bincang secara terperinci,” jelas beliau.

Mengenai kebenaran menukar nama Wawasan Negara, Hamzah berkata, parti itu sudah menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 7 Julai lalu dan ia sudah diluluskan.

“Wawasan Negara sudah pun mendapat kelulusan menukar nama, alamat, kebenaran pindaan undang-undang di bawah Seksyen 11 dan menggunakan bendera, lambang, tanda atau lencana di bawah Seksyen 50.

“Dalam masa yang sama, parti juga memperkenalkan gagasan Konsensus Nasional Baharu yang dibina berasaskan tiga tonggak utama iaitu Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama dan Tadbir Urus Berperikemanusiaan sebagai hala tuju perjuangan parti,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img