MoF kaji syor pengecualian SST pusat jagaan warga emas

KEMENTERIAN Kewangan (MoF) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menjalankan kajian lanjut berhubung cadangan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi pusat jagaan warga emas.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kajian itu merangkumi usaha meneliti semula cukai perkhidmatan sedia ada bagi mengenal pasti kategori pusat jagaan yang menawarkan perkhidmatan bersifat asas atau premium.

Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi memastikan pengenaan cukai perkhidmatan lapan peratus yang dilaksanakan secara bersasar itu tidak menjejaskan atau membebankan golongan rentan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Sebarang cadangan penambahbaikan daripada semua pihak akan turut diambil kira sebelum kajian ini dimuktamadkan kelak,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta kerajaan mengecualikan warganegara Malaysia daripada SST lapan peratus bagi perkhidmatan penjagaan warga emas di pusat jagaan berdaftar di bawah JKM.

Chuan How ketika mengemukakan soalannya berkata, pengenaan SST itu menambah beban kewangan yang nyata kepada keluarga biasa, memandangkan yuran bulanan kira-kira RM2,500 menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi.

Dalam pada itu, Chin Tong turut memberikan jaminan kementeriannya bersedia untuk mengadakan lawatan kerja ke pusat jagaan terbabit bagi meninjau situasi sebenar yang dihadapi oleh pihak operator.

Beliau berkata, lawatan bersama KPWKM itu juga akan membabitkan sesi libat urus dengan pengusaha bagi membolehkan MoF mendapatkan pemahaman yang lebih terperinci.

“Saya bersedia bersama dengan pegawai saya, kami bersedia untuk membuat lawatan bersama dengan KPWKM berkenaan dengan sektor warga emas. Kita tumpukan untuk menyelesaikan isu warga emas sebelum kita sentuh skop yang lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor ketika menangguhkan sesi berkenaan berkata Persidangan Kamar Khas bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas menyaksikan sebanyak 63 usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17 dibentangkan sepanjang 16 hari sesi persidangan berlangsung.

Beliau berkata, kesemua usul berkenaan membabitkan perbahasan dan penjelasan daripada 18 kementerian dan satu sesi penerangan menteri.

Persidangan kali ini turut memberikan ruang kepada Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang untuk mengendalikan mesyuarat.

“Kamar Khas kali ini memberikan peluang kepada sembilan ahli daripada pihak backbenchers (penyokong) dan tiga ahli daripada pembangkang untuk mempengerusikan mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16(3),” katanya sebelum menangguhkan persidangan Kamar Khas ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img